Siapa Yang Boleh Mengenali Dajjal?


zikr3220

Rasulullah SAW memberi hadith yang banyak sekali tentang Dajjal sebelum baginda wafat. Antara hadith yang masyur ialah yang berkaitan dengan bentuk-bentuk fizikal Dajjal dari hujung rambut hinggalah hujung kaki. Baginda sendiri mengakui dalam suatu hadith yang berbunyi

“Tiada nabi selain diriku yang mengetahui lebih banyak tentang Dajjal.”

Ini bermakna, Rasulullah diperlihatkan Allah akan rupa sebenarnya Dajjal itu. Saya percaya Dajjal berselindung disebalik rupa yang palsu sekarang ini atau ketika ia muncul. Jika Dajjal itu mudah dilihat dan dikenali, tidak perlu sebegitu banyak hadith untuk menerangkan tentang Dajjal. Cukuplah sekadar 4 atau 5 hadith.

Berbalik kepada persoalan tadi, “Siapa yang boleh mengenali Dajjal?”, saya dengan yakin (InsyaAllah) ingin mengatakan orang yang mampu mengenalinya ialah:

“Ahli Tasawuf atau Ahli Sufi”

Siapa ahli Tasawuf / Sufi ?

Ahli tasawuf merupakan muslim yang menjadi kekasih Allah, sentiasa mendapat keberkatan Allah, dan juga sentiasa dimakbulkan doanya oleh Allah. Ahli tasawuf adalah orang yang dicintai Allah, kecintaan Allah terhadap golongan ini sehingga Allah berkenan menganugerahkan mereka pancaindera yang keenam iaitu membaca hati dan melihat perkara yang dihijab Allah.

Contoh terdekat yang boleh diambil kira ialah Wali Songo yang terdapat di Indonesia suatu ketika dahulu. Pada zaman sekarang, terdapat juga golongan yang mengamalkan tasawuf dan kebanyakannya berada di Kelantan (Malaysia) dan Selatan Thai (Thailand).

Terdapat juga seorang mudir yang dipercayai mencapai taraf wali iaitu Mudir bagi sebuah Pondok pengajian di Pengkalan Hulu, Perak. Beliau dikenali sebagai Pak Teh dan masih hidup sekarang.

Apakah Kelebihan Ilmu Tasawuf?

Kelebihan yang tidak boleh disangkal ialah kebolehan membaca dan menilai hati seseorang tanpa perlu bercakap dengan orang tersebut. Yakni seseorang yang bertaraf wali (Kekasih Allah) itu mampu mengetahui bisikan hati kita dan apa yang kita niatkan di dalam hati.

Contoh terdekat ialah Allahyarham Hj Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau menubuhkan sebuah madrasah yang bernama Madrasatul Daeratul Maarifil Wataniah dan masih wujud sehingga sekarang. Beliau juga bapa kepada Perdana Menteri Malaysia.

Kewalian beliau (Ahmad Badawi) diakui oleh bekas-bekas pelajar madrasah tersebut. Menurut mereka, Hj Ahmad Badawi mampu membaca isi hati seseorang terutamanya pelajar-pelajar didikannya. Pernah suatu ketika apabila tiba waktu pendaftaran pelajar baru, beliau menghalau seorang pelajar kerana mengetahui niat sebenar pelajar tersebut.

Menurut bekas pelajar yang saya temui, rakan mereka (yang dihalau) itu bukan datang dengan niat untuk belajar tetapi datang dengan sebab ‘terpaksa’ dan ‘dipaksa’ oleh ibu bapa mereka. Bagi mengelakkan timbul masalah dikemudian hari, Hj Ahmad Badawi tidak membenarkan pelajar itu mendaftar.

Menurut mereka lagi, semasa sedang belajar, semua pelajar boleh mendengar hentakan kaki beliau dari jarak lebih 50 meter. Sedangkan tubuh badan beliau hanyalah kecil dan tidak mungkin tapak kakinya mampu mengeluarkan bunyi hentakan yang kuat sebegitu rupa seolah-olah badannya mempunyai berat melebihi 200kg.


Comments

Popular Posts